Friday 1 June 2012

NILAI MORAL DALAM MENYAMPAIKAN MODUL 1 KSSR PJK


Dalam Modul 1 iaitu Kesihatan Fizikal, terdapat satu subtopik iaitu Kesihatan Diri dan Reproduktif yang mana kita perlu sampaikan dan jelaskan kepada murid-murid dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar subtopik ini dapat dikuasai serta difahami oleh murid-murid sesuai dengan aras mereka. Pendidikan Kesihatan ialah disiplin ilmu yang membolehkan murid mendapat pengalaman pembelajaran secara berterusan untuk membuat keputusan, meningkatkan literasi kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Murid dididik supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dalam aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani. Terdapat dua cara penyampaian iaitu secara formal dan tidak formal. Dalam menyampaikan tajuk ini secara formal, pastinya ia melibatkan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

Semasa P&P guru yang mengajar perlu menggunakan kaedah-kaedah model pengajaran dan pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan murid-murid yang diajar. Kaedah-kaedah pengajaran ini merupakan satu proses yang merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian dan maklum balas. Terdapat beberapa model pengajaran yang selalu digunapakai semasa aktiviti P&P iaitu Model Ekspositori yang bermaksud penerangan yang jelas dan terperinci iaitu cara penyampaian pelajaran melalui penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan tujuan mengajar sesuatu.  Selain itu, kaedah pengajaran Model Inkuiri dan Penemuan adalah merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau daripada masalah yang dikemukakan.

Model Pembelajaran Berasaskan Kajian Masa Depan (KMD) juga amat sesuai digunakan dalam menyampaikan tajuk kesihatan diri dan reproduktif kepada murid-murid. Pengajaran KMD adalah suatu kaedah murid menggunakan pemikiran kritis dan kreatif untuk meninjau masa depan perubahan masa lalu ke sekarang dan meramalkan keadaan pada masa depan. Dalam Model Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Kajian Masa Depan, terdapat empat prinsip yang terlibat antaranya adalah Prinsip Perubahan, Prinsip Pandangan Jauh, Prinsip Perancangan Strategik,  dan Prinsip Pengupayaan. Model Pembelajaran Masteri juga amat sesuai digunakan iaitu pendekatan P&P yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Model P&P Masteri ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut hasil pembelajaran ditentukan, aktiviti P&P bermakna, berkesan, menarik dan seronok, bahan P&P yang berkesan, dan aktiviti pemulihan dilaksanakan untuk murid yang belum menguasai aras Masteri. Dengan adanya model-model ini, maka tajuk kesihatan diri dan reproduktif ini dapat disampaikan kepada murid-murid dengan lebih efektif dan berkesan.
                                                                                                                 
Banyak lagi kaedah dan pendekatan yang boleh digunakan misalnya teori-teori pembelajaran Pavlov dan Jean Piaget juga boleh digunakan. Pendekatan Belajar Sambil Bermain juga boleh digunakan dalam memvariasikan kaedah P&P dalam kelas secara formal. Malah Teori Kecerdasan Pelbagai juga sesuai digunakan dalam aktviti P&P. Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) semasa aktiviti P&P dilaksanakan haruslah digunakan untuk memastikan tajuk Kesihatan Diri dan Reproduktif yang disampaikan ini dapat difahami oleh murid dengan lebih mudah lagi. Penggunaan BBM membantu guru untuk menerangkan dan murid dapat melihat serta mendengar penerangan yang disampaikan oleh guru dengan lebih jelas dan tepat lagi. BBM yang digunakan ini meliputi gambarajah, kertas mahjong, kad manila, kad imbas, ICT, alat-alat elektronik dan lain-lain lagi yang berkaitan. Kaedah simulasi cara penjagaan kesihatan diri dan reproduktif juga boleh digunakan. Komunikasi dua hala juga haruslah digunakan untuk menggalakkan murid-murid berkomunikasi dengan rakan-rakan sebaya dan juga murid dengan guru. Komunikasi seperti ini dalam P&P amat berkesan dan menyeronokkan murid-murid belajar.

Dalam aktiviti P&P dalam kelas, guru haruslah menyampaikan tajuk kesihatan diri dan reproduktif ini dengan mengambil kira tahap kebolehan murid dan pengalaman sedia ada murid supaya tajuk yang disampaikan ini benar-benar dikuasai oleh murid secara optimum. Sekiranya guru-guru yang mengajar Pendidikan Kesihatan ini dapat menggabungjalinkan semua kaedah, teori dan pendekatan dengan baik, pastinya tajuk ini dapat disampaikan dengan baik dan berkesan kepada murid-murid. Selain itu, aktiviti tidak formal seperti ceramah, taklimat dan kempen kesihatan diri dan reproduktif juga adalah alternatif lain yang boleh digunakan dalam menyampaikan tajuk ini. Dalam P&P juga, menjadi satu keutamaan bagi guru mengambil kira beberapa perkara seperti matlamat pendidikan, kurikulum mata pelajaran yang diajar dan persekitaran.

Guru bertanggungjawab ke atas pengajaran masing-masing dan memberi pertimbangan yang rapi mengenai persekitaran pembelajaran murid-murid. Dalam pengajaran harian, guru perlu mengenal pasti isi pengajaran yang hendak disampaikan berdasarkan kurikulum dan Standard Pembelajaran. Kemudian memikirkan pendekatan, strategi, kaedah yang sesuai dan selaras dengan keperluan, minat dan kebolehan murid. Guru yang berkesan sentiasa membuat refleksi terhadap pengajaran mereka, membuat pemerhatian untuk mengenal pasti kefahaman murid-murid seterusnya mengubahsuai amalan mengikut keperluan. Oleh itu, guru mestilah kreatif dan inovatif dalam menterjemahkan isi pelajaran kepada murid dengan menggabungjalinkan pedagogi pengajaran dan pembelajaran dalam mencapai objektif yang sudah ditentukan dalam Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran berdasarkan KSSR.

Seterusnya kita akan membincangkan bagaimana tajuk ini dapat meningkatkan nilai moral murid berpandukan Kesihatan Diri dan Reproduktif dalam buku KSSR Pendidikan Kesihatan. Guru Pendidikan Kesihatan mempunyai tanggungjawab yang penting dalam meningkatkan nilai moral murid. Selain daripada perlu menyampaikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan berkesan, guru perlu menjadi contoh kepada murid-muridnnya. Guru Pendidikan Kesihatan bukan sahaja mengajarkan nilai-nilai moral kepada murid-murid tetapi harus menghayati serta mengamalkannya. Guru-guru Pendidikan Kesihatan ialah ‘Role Model’ yang merupakan kayu ukur kepada perkembangan nilai moral murid berpandukan Kesihatan Diri dan Reproduktif dalam buku KSSR Pendidikan Kesihatan pada pandangan pelbagai pihak, khususnya murid-murid di sekolah rendah. Guru Pendidikan Kesihatan juga harus sedar bahawa sekolah itu sendiri merupakan sumber pembelajaran moral secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara tidak langsung kepada pembelajaran Pendidikan Kesihatan kanak-kanak di sekolah. Kanak-kanak yang belajar di sekolah ternama dan tinggi penghayatan moralnya sudah tentu lebih beruntung dan lebih mudah proses pemupukan nilai dilakukan berbanding dengan sekolah yang sebaliknya. Pendidikan Kesihatan di sekolah digunakan untuk memperkembangkan pengetahuan tentang kepentingan menjaga kesihatan diri dan reproduktif di kalangan murid-murid ke arah mencapai matlamat kurikulum untuk melahirkan individu yang bermoral tinggi berpandukan Kesihatan Diri dan Reproduktif dalam buku KSSR Pendidikan Kesihatan.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, KSSR digubal berdasarkan kepada prinsip kesepaduan unsur-unsur ini yang membolehkan potensi individu berkembang secara menyeluruh dan seimbang. Justeru itu, untuk mencapai Matlamat Pendidikan Kebangsaan, murid-murid sekolah akan diberi peluang menghayati nilai-nilai murni serta mengamalkannya dalam kehidupan mereka melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan secara langsung, dan melalui mata pelajaran-mata pelajaran lain secara tidak langsung. Penerapan nilai-nilai murni ini berlaku semasa aktiviti Penagajaran dan Pembelajaran (P&P) dalam kelas ataupun di bilik-bilik khas oleh Guru Pendidikan Kesihatan secara optimum berdasarkan tajuk-tajuk standard kandungan dan standard pembelajaran yang diajar. Guru Pendidikan Kesihatan  perlu ‘menghidupkan‘ kelas dengan aktiviti-aktiviti yang menarik dan memberikan pengalaman langsung kepada murid. Contohnya membawa murid-murid melawat Klinik Kesihatan yang berdekatan dan suntiklah seberapa banyak nilai kasih sayang, hormat menghormati dan membalas budi ke dalam jiwa murid-murid yang diajar.

Melalui pengalaman tersebut mereka akan dewasa dengan jiwa prihatin yang kaya dengan nilai kemanusiaan serta menghargai diri mereka sendiri dan orang lain. Bukan itu sahaja, lawatan ke kampus universiti di kalangan murid-murid di kawasan luar bandar akan menyebabkan mereka bersemangat dan berjiwa besar untuk terus memanjat tangga kejayaan. Pendek kata guru Pendidikan Kesihatan yang komited ibarat doktor yang mampu memberikan penawar, mengubati dan memberikan harapan kepada murid-murid yang diibaratkan sebagai rebung yang masih boleh dilentur.  Penayangan gambar-gambar dan video-video yang berkaitan dengan kesihatan diri dan reproduktif  kepada murid-murid akan dapat memberikan gambaran jelas tentang kepentingan menjaga kesihatan diri dan reproduktif dengan mengamalkan nilai-nilai moral yang baik bagi mengelakkan masalah-masalah kesihatan mereka.

Dari segi sudut lain dalam menerapkan nilai moral kepada murid melalui tajuk Kesihatan Diri dan Reproduktif, teori nilai (aksiologi) ini adalah untuk menganalisis, meneliti dan menghurai prinsip dan kaedah pengukuran segala ilmu pengetahuan serta segala objek yang didukungi oleh ilmu pengetahuan dari segi harga, kegunaan dan manfaatnya. Konsep utama teori nilai meliputi empat cabang iaitu nilai, etika, moral dan  akhlak. Melalui pengajaran dan pembelajaran tajuk Pendidikan Kesihatan ini, ia membolehkan individu mengawal kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan persekitaran menerusi pengetahuan, kemahiran, amalan gaya hidup sihat dan bersikap positif untuk mencapai kesejahteraan hidup serta jangka hayat panjang yang berkualiti. Pengajaran tajuk Kesihatan Diri dan Reproduktif disertai dengan penerapan nilai-nilai murni ini ke dalam diri murid-murid akan dapat mempertingkatkan moral mereka untuk menjadi murid yang berakhlak mulia di sekolah dan menjadi contoh kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana tajuk ini dapat mengurangkan kesan-kesan negatif setelah murid mempelajari Kesihatan Diri dan Reproduktif. Apabila murid mempelajari tajuk ini, murid-murid dapat:
      i.        mempertingkatkan pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan diri, keluarga, masyarakat serta persekitaran mereka;
     ii.        mengamalkan dan mempamerkan kemahiran mencegah masalah kesihatan serta penyakit; dan
    iii.        menguasai keupayaan bagi menghadapi dan menangani masalah serta isu berkaitan dengan kesihatan.
Pendidikan Kesihatan Diri dan Reproduktif diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan berdasarkan KSSR. Pendidikan Kesihatan Diri dan Reproduktif adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai serta kepercayaan terhadap identiti, perhubungan dan keintiman sesama insan. Pendidikan Kesihatan Diri dan Reproduktif mencakupi pengetahuan dari aspek biologikal, sosiobudaya, psikologikal dan kerohanian ke arah amalan tingkah laku yang sihat dalam kehidupan seharian.

Dengan adanya pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan berperingkat mengikut kesesuaian serta aras umur murid, maka murid-murid ini akan dapat mengurangkan kesan-kesan negatif melalui tajuk Kesihatan Diri dan Reproduktif yang diajar di sekolah serta mendapatkan suntikan-suntikan yang diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan. Oleh itu, tajuk ini bukan lagi satu keperluan tetapi ia merupakan perkara wajib yang harus diketahui dan dipelajari oleh murid-murid seperti mana yang sudah dilaksanakan di Eropah. Dengan penguasaan ilmu dan pengetahuan dalam tajuk ini maka masalah-masalah penyakit berkaitan dengan kesihatan diri dan reproduktif sejak akhir-akhir ini dapat dielakkan dan dikurangkan bagi mengelakkan pandangan negatif daripada negara-negara luar.

No comments:

Post a Comment